CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, January 31, 2009

Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu

Sepanjang penulisan ini kita telah melihat banyak penerangan-penerangan terperinci tentang penderitaan yang berlaku di negara-negara Islam, termasuk pengeboman hospital bersalin di Chechnya, pembunuhan kejam ke atas wanita hamil di Bosnia, dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang dilakukan oleh askar-askar Israel di Palestin. Namun harus diingat bahawa contoh yang serupa malah lebih teruk lagi pernah dirasai oleh masyarakat Islam di zaman dahulu. Para pemerintah ateis atau pun pemimpin terkenal dari pelbagai bangsa telah mendera utusan-utusan yang dihantar kepada mereka dan juga masyarakat yang beriman. Mereka telah mengusir rakyat yang tidak bersenjata dari tanah air mereka dan terus menindas mereka. Salah satu contoh paling jelas ialah Firaun. Sewaktu Firaun menikmati hidup yang penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel. Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran:

Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu. (Al-Baqarah, 2:49)

Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama. Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini. Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu, dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini. Allah telah menerangkannya seperti berikut:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2:214)

Seperti yang kita dapat lihat menerusi ayat ini, orang-orang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah dengan kesusahan dan masalah, namun Allah sentiasa memberikan bantuan. Di samping itu, seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, pertolongan itu pasti datang segera.

Apabila Moral Islam Menguasai Dunia, Kekejaman Akan Berakhir

Terdapat banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang merujuk kepada dominasi Islam di serata dunia. Terdapat banyak persamaan di antara semua ini dengan apa yang telah diwahyukan kepada Nabi Muham­mad s.a.w. tentang Zaman Keemasan. Memandangkan zaman ini tidak datang di zaman kita, jelaslah bahawa dominasi Islam yang meluas yang diceritakan di dalam al-Quran sebenarnya merujuk kepada Akhir Zaman yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. Di sini adalah beberapa contoh berkenaan dengan kekuatan dan kekuasaan yang diberikan terhadap mereka yang mengikut ajaran-ajaran al-Quran:

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mem­per­sekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) ini maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nuur, 24:55)

Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang." Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Al-Mujaadilah, 58:21)

Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap me­nyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya di atas segala-segala agama meski­pun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Ash Shaff, 61:8-9)

Juga telah menjadi ketetapan Allah, yang telah diterangkan di dalam Al-Quran, bahawa mereka yang benar-benar percaya bahawa tiada tuhan selain Allah akan mewarisi bumi ini:Dan sungguh telah Kami tulis dalam kitab Zabur sesudah (Kami tulis) dalam Lauh Mahfuz, bahawa bumi ini diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh. (Al-Anbiyaa', 21:105)

Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadirat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku. Dan mereka me­mohon kemenangan (ke atas musuh-musuh mereka) dan binasalah orang-orang yang melakukan sesuka hati lagi keras kepala. (Ibrahim, 14:14-15)

Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mencontohi (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak baginya). (Al-Anbiyaa', 21:18)

0 comments: